Thursday, October 23, 2008

Memburu Rama2..

Suatu hari, ada seorang pemuda di tepi telaga. Dia termenung. Renungan matanya kosong menatap air telaga di hadapannya. Seluruh penjuru angin telah di lewatinya, namun tak ada satu pun tempat yang membuatnya puas. Kosong dan senyap, hingga ada suara yang menyapanya."Sedang buat apa kau di sini wahai anak muda?" tanya orang itu, seorang tua.


"Apakah yang sedang kau risaukan..?"Anak muda itu menoleh ke sebelahnya, "Saya letih, Pak Cik. Telah jauh jalan yang saya tempuh untuk mencari kebahagiaan, namun tidak juga saya temukan rasa itu dalam diri saya.

Saya telah berjalan melewati gunung dan lembah, tapi tidak ada tanda kebahagiaan yang hadir dalam diri saya. Ke manakah harus saya mencarinya? Bilakah akan saya temukan rasa itu?"Orang tua itu duduk semakin dekat sambil mendengarkan dengan penuh perhatian.

Di pandangnya wajah lesu di hadapannya. Lalu, dia mula berbicara, "Di depan sana ada sebuah taman. Jika kamu ingin jawapan dari pertanyaanmu, tangkaplah seekor rama-rama untukku.Mereka berpandangan."Ya... tangkaplah seekor rama-rama untukku dengan tanganmu" pak tua mengulangi kalimatnya lagi.

Perlahan-lahan pemuda itu bangkit lalu menuju ke taman. Tidak berapa lama dijumpainya taman itu. Taman yang yang bersemarak dengan pohon dan bunga-bunga yang mekar. Tidak hairanlah mengapa banyak rama-rama berterbangan disana.

Orang tua itu melihat dari jauh, memperhatikan tingkah laku pemuda yang sedang gelisah itu. Anak muda itu mula bertindak. Dengan terhendap-hendap ditujunya seekor rama-rama. Dengan perlahan dia cuba menangkapnya. Namun gagal.Di kejarnya pula rama-rama itu. Dia cuba menangkapnya lagi, tapi gagal. Dia mula berlari tidak keruan. Kakinya menerjah ke sana sini. Rumput-rumput dipijaknya dan tanaman dirempuhnya untuk mengejar rama-rama itu.

Dirempuhnya semak dan duri. Aksinya nampak semakin liar.Adegan itu terus berlangsung, namun belum ada satu rama-rama pun yang dapat ditangkap. Si pemuda mula keletihan. Nafasnya mencungap dadanya bergerak naik-turun dengan cepat.

Hingga akhirnya ada satu teriakan, "Hentikan dulu hai anak muda. Berehatlah."Maka nampaklah dia orang tua tadi berjalan perlahan menujunya. Tapi si pemuda kehairanan melihat ada sekumpulan rama-rama berterbangan di kiri kanan orang tua itu.

Rama-rama itu terbang berkeliling dan sesekali hinggap di tubuh orang tua itu."Begitukah cara kamu mengejar kebahagiaan? Berlari dan mengejar? Menerjah tak tentu arah, memijak tanpa pedulikan apa yang kau rusakkan?"Orang tua itu menatap si pemuda.

"Anakku, mencari kebahagiaan itu adalah bagai menangkap rama-rama. Semakin kau kejar semakin itulah ia akan menjauhimu. Semakin kau buru semakin pula ia pergi jauh dari dirimu.""Kerana itu tangkaplah rama-rama itu dalam hatimu. Kerana kebahagiaan itu bukan benda yang dapat kau genggam, atau sesuatu yang dapat kau simpan. Carilah kebahagiaan itu dalam hatimu. Carilah rasa itu dalam kalbumu. Ia tak akan lari kemana-mana.

Bahkan tanpa kau sedari kebahagiaan itu sering datang dengan sendiri."Orang tua itu mengangkat tangannya. Tiba-tiba seekor rama-rama hinggap di hujung jarinya. Kelihatanlah kepak-kepak sayap rama-rama itu memancarkan keindahan ciptaan Tuhan. Begitu mempersona dan mengagumkan bila melihat kelopak sayap yang mengalun perlahan-lahan, bagaikan kebahagiaan yang hadir di dalam hati. Warna kepaknya begitu indah, seindah kebahagiaan yang dirasai oleh mereka yang mampu menyelaminya.

Posted by Senatsenut at 5:45:00 PM

4 Comments